KOTA BHARU - Keterujaan jelas terpancar pada wajah 36 bakat muda yang menyertai Klinik Tenpin Boling Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (UPSTN) Kelantan anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan apabila berpeluang ‘turun padang’ dalam sesi latihan praktikal yang berlangsung di Mutiara Super Bowl, Kompleks Kota Seri Mutiara di sini, semalam.
KOTA BHARU - Keterujaan jelas terpancar pada wajah 36 bakat muda yang menyertai Klinik Tenpin Boling Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (UPSTN) Kelantan anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan apabila berpeluang ‘turun padang’ dalam sesi latihan praktikal yang berlangsung di Mutiara Super Bowl, Kompleks Kota Seri Mutiara di sini, semalam.
Bagi Ketua Jurulatih Tenpin Boling UPSTN, Zahimi Zainuddin bersama dua pembantunya, Nor Fadhilah Junkipili dan Mohd Norzri Abd Wahab, latihan praktikal lebih daripada tiga jam itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menurunkan ilmu yang berguna kepada peserta yang rata-rata langsung tidak pernah ‘memegang’ bola boling tersebut.
Nik Nurain Yasmin Roziyana, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 menganggap peluang memegang bola boling buat pertama kali itu merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat selamanya.
“Saya tak pernah main boling sebelum ini. Ini merupakan pengalaman pertama yang cukup manis bagi saya. Banyak perkara yang saya dapat pelajari dan saya cukup meminati sukan ini,” katanya yang menggunakan bola seberat sembilan kilogram dalam sesi praktikal itu.
Seorang lagi murid, Muhd Irfan Hakim, 10, dari SK Padang Garong 1 yang mempunyai pengalaman bermain boling sebelum ini menyatakan kegembiraannya apabila diberi peluang untuk menyertai klinik selama tiga hari itu.
“Memang terasa seronok sangat apabila menyertai klinik ini. Sebelum ini saya pernah main boling bersama keluarga tetapi sekadar main suka-suka sahaja. Namun kali ini saya berpeluang mempelajari teknik bermain dengan cara yang betul,” katanya.
Berlainan pula bagi Nur Tasneem Ibrahim, 11 tahun dari SK Zainab 2 yang sudah banyak kali bermain boling dan berazam untuk terlibat secara serius dalam sukan ini sekiranya terpilih menyertai latihan bersama pasukan pelapis negeri.
“Klinik ini bagus kerana saya dapat menambahkan ilmu pengetahuan lebih mendalam mengenai sukan ini.
Saya gembira dan berminat untuk terbabit secara serius dalam sukan ini. Lagipun ibu-bapa saya juga turut memberi galakkan kepada saya,” katanya yang turut menggunakan bola seberat sembilan kilogram dalam sesi tersebut.
Sementara itu, Guru Kelab Boling SK Zainab 2, Hayati Hussain berkata, selaku Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negeri ini, pihaknya sememangnya mempunyai peralatan yang lengkap bagi kemudahan murid-muridnya mempelajari sukan tersebut.
“Sebenarnya kelab ini sudah lama ditubuhkan dan ahli-ahlinya pula silih berganti. Setakat ini kita mempunyai seramai 20 peserta yang terbabit dalam sukan ini. Kita hanya menghantar enam peserta yang betul-betul mempunyai pengalaman bagi menyertai klinik ini,” katanya.
Post A Comment:
0 comments so far,add yours